Thursday, December 26, 2013

                       

back to school2

Pengetahuan Umum

Kepentingan dan Faedah Bermain 

Secara umum, bermain boleh membantu kanak-kanak dalam perkembangan fizikal, perkembangan sosioemosi, perkembangan kognitif dan perkembangan bahasa. 

1. Perkembangan Fizikal 

Kanak-kanak menguasai kawalan motor halus dan motor kasar melalui bermain. Kemahiran motor kasar yang dapat dikembangkan melalui aktiviti seperti berlari bebas, melompat, memanjat, menendang, mengangkat, membaling dan menyambut (bola). Ini memberi kesedaran kepada kanak-kanak tentang fungsi badan sendiri, kegunaan ruang dan arah tujuan. 

Aktiviti membutang, mewarna, melukis, menampal dan mencantum dapat mengembangkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata-tangan. Kemahiran manipulatif dapat dibina melalui aktiviti seperti mencucuk benang ke dalam manik, jigsaw puzzles, mengikat reben, kraft tangan dan membentuk menggunakan doh. 

2. Perkembangan Sosioemosi 

Semasa bermain, kanak-kanak berpeluang belajar berinteraksi dengan orang lain secara positif, mengajak kanak-kanak keluar daripada pola egosentrik, mengambil kira pandangan rakan, menghormati hak orang lain, bersabar dan bertolak ansur. Mereka dapat belajar untuk menangguh kehendak semerta diri (delayed gratification) untuk mencapai matlamat jangka panjang. Dengan itu main memberi peluang kepada kanak-kanak membina konsep kendiri yang positif, keyakinan diri serta melahirkan sentimen dan menstabilkan emosi. 

Aktiviti main peranan seperti berpura-pura menjadi doktor dan pesakit atau menaiki bas olok-olok memberi latihan kepada kanak-kanak untuk menguasai pengetahuan dari persekitaran serta membantu perkembangan kemahiran bersosialisasi. Permainan imaginatif seperti ini memberi latihan kepada kanak-kanak mengenali alam dewasa. Mereka belajar bekerjasama untuk mencapai matlamat kumpulan. 

3. Perkembangan Kognitif dan Bahasa 

Bermain juga dapat membantu memperkembangkan kebolehan kognitif seperti mengenal pasti, mengkategori, membuat urutan, memerhati, membezakan, meramal, membuat rumusan, dan membuat perbandingan. 


Akiviti seperti membina blok, permainan bahasa, permainan dam, puzzle, teka-teki, nyanyian dan congkak membantu mengembangkan kemahiran bahasa, matematik dan sains serta berfikir secara logik dan kreatif. Kanak-kanak juga dapat meningkatkan kemahiran penggunaan bahasa dalam persekitaran yang relaks, semulajadi dan seronok.







Panduan untuk Ibubapa


Didikkan Selepas Kelahiran

                    



TIPS MENGHADAPI HARI PERTAMA KANAK-KANAK KE TADIKA ATAU TASKA

  • Bawa anak ke tadika/taska sebelum sesi persekolahan bermula jika berpeluang.
  • Ceritakan pada anak tentang alam persekolahan yang bakal dilaluinya.
  • Bawa anak-anak bersama membeli alat tulis dan buku-buku.
  • Biasakan anak dengan rutin harian yang bakal mereka lakukan sepanjang waktu persekolahan.
  • Bacakan anak buku dan ceritakan padanya tentang aktiviti hari di tadika/taska dan beritahu ada kanak-kanak yang takut pada hari pertama persekolahannya.
  • Terapkan dalam diri anak bahawa tadika/taska adalah tempat yang menyeronokkan.
  • Sekiranya ingin meninggalkan anak di tadika/taska, beritahu dia dan terus tinggalkan. Jangan tipu anak mengatakan kita nak balik tapi sebaliknya kita masih disitu kerana khuatir anak akan ternampak dan menganggap kita menipu.
Selamat mencuba..



                                                                                  


                                      fireworks5                               fireworks4